Wednesday, 10 September 2014

Salam perkenalan

Nama diberi bersempana seorang tokoh wanita yang lebih dikenali dengan permaisuri Firaun. Asiah merupakan tokoh wanita yang dijanjikan Allah sebuah mahligai di syurga kerana teguh dengan keimananya walaupun ditentang oleh suaminya sendiri. Asiah yang menulis ini mempunyai impian yang sama seperti itu kerana ibu dan ayah telah mendidiknya ke arah impian tersebut. Setelah mendapat pendidikan di salah sebuah sekolah Islah di Kuala Lumpur, ibu dan bapanya telah berhijrah ke Perth, Australia bersama adik-beradik yang lain.

Dunia baru itu dirasakan sangat asing berbanding yang dulu. Cuaca yang berbeza dan suhu turun dan naik hampir setiap hari. Banyak juga pengalaman yang dapat dikongsikan sepanjang hidup di dunia kangaroo ini. Dari ilmu membakar cheesecake dan cupcake hinggalah menguruskan bisens francais bersama bapa tercinta adalah antara kemahiran yang diperoleh. Pada masa yang sama juga, empat tahun pengajian di universiti dalam bidang bioteknologi telah mengajar erti persahabatan, berdikari dan juga selok belok dalam dunia penyelidikan (research).

Pada tahun akhir pengajian, saya ditemukan jodoh dengan seorang pemuda yang sedang belajar di SanaĆ”, Yemen. Selepas melansungkan perkahwinan, saya telah berhijrah pula ke bumi yang penuh barakah. Pengalaman berbahasa arab, mengajar anak-anak yemen berbahasa inggeris dan melalui kehidupan yang serba tak cukup menjadikan diri lebih kental. Setelah kami mendapat berita gembira bahawa akan menimbang cahaya mata, keputusan yang sangat berat dipilih untuk pulang ke tanah air. 

Oleh sebab ibu saya masih di Perth pada waktu itu, saya melahirkan anak sulung saya di Armadale Hospital, Perth. Saya bersemangat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang research sambil menjaga anak yang masih kecil atas dorongan daripada keluarga . Selepas berusaha selama dua tahun belajar dalam bidang penyilidikan, banyak liku-liku yang terpaksa ditempuhi. Namun apabila melahirkan anak yang kedua, persepsi saya terhadap ibu yang berkerja sama sekali berubah. Sekarang saya masih tidak tahu kenapa persepsi ini berubah, adakah disebabkan hormon yang berlebihan atau semakin rasa ketinggalan dalam membesarkan anak-anak.

Dari saat itu, saya nekad untuk meluangkan masa yang sepenuhnya bersama anak-anak. Dengan semua ilmu dan kemahiran yang Allah telah kurniaankan, insyAllah saya akan kongsikan pengalaman saya kepada pembaca diluar sana. Semoga melalui blog ‘Panduan Melancong bersama Keluarga’ ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca disamping mengurniakan sedikit saham akhirat saya ke syurga kelak.

No comments:

Post a Comment