Wednesday, 22 October 2014

Kemaskini Catatan Harian dengan 'Bullet Journal'

Teks: Asiah Budiman
Video: bulletjournal.com

Pada bulan ogos yang lepas, saya telah menyertai Akademi Berkerja Dari Rumah (ABDR). Antara tugasan utama akademi ialah menulis setiap hari dan menyimpan satu buku catatan harian. Penulis boleh menulis di blog secara konsisten dengan mengekstrak idea dari catatan harian tersebut. Jujur saya katakan saya tidak biasa menulis jurnal atau diari harian, akan tetapi saya sangat suka menulis semua perkara di atas kertas dalam bentuk senarai (bullet). Setelah saya buat pelbagai penyelidikan di internet, akhirnya saya menemui satu kaedah yang sesuai dengan cara hidup saya iaitu 'Bullet Journalling'. 

Bullet Journal merupakan kaedah menyimpan dan menyusun kesemua senarai tugasan dalam satu buku catatan sahaja. Jadi untuk menggunakan kaedah ini, hanya sebatang pen dan sebuah buku nota sahaja yang diperlukan. Setiap jurnal dimulakan dengan satu halaman indeks yang menyenaraikan semua tajuk mengikut bab. Tajuk ini disertakan nombor halaman dan boleh ditambah dari masa ke semasa. Di bawah merupakan sebuah video dari perintis asal disebalik kaedah bullet journal ini.




Apa yang saya suka dengan kaedah ini adalah saya dapat menulis hampir semua agenda dalam hidup saya seperti catatan harian, resepi makanan, tajuk entri untuk blog, nota-nota kelas, senarai membeli-belah dan idea-idea penulisan yang lain. Selain itu, saya dapat menulis peringatan buat diri untuk setiap acara, janji temu, buku yang perlu dibaca dan aktiviti bersama anak-anak.

Kaedah ini ada sedikit batasan dan memerlukan adaptasi penulis mengikut keperluan masing-masing. Bagi saya, kaedah ini efektif untuk merancang tugasan pada waktu sekarang dan dapat merujuk tugasan yang telah lepas, tetapi sukar untuk merancang tugasan untuk jangka masa panjang. Oleh sebab ini, kalendar tahunan atau bulanan boleh dikepilkan pada bahagian belakang buku catatan untuk perancangan masa depan. Kalendar ini amat mudah didapati di internet untuk dimuat turun dan dicetak. 

Pelbagai perkara yang saya belajar apabila menggunakan kaedah ini. Saya dapat melihat di dalam senarai, tugasan mana yang lebih prioriti atau penting dari yang lain. Oleh itu, saya dapat mengatur masa dan tenaga mengikut kepentingan dan keperluan.

Sebelum ini sudah pelbagai cara saya gunakan untuk menyusun aktivit harian saya. Bukan sahaja diari, alat seperti 'wall planner' tahunan, bulanan dan mingguan, sticker notes dan app di telefon pintar sudah saya cuba pakai tetapi tidak berpanjangan. Bullet journal membolehkan saya bebas menulis semua idea yang ada disamping saya kekal teratur dan produktif. 

1 comment:

  1. "Artikel yang sangat bermanfaat. Saya percaya ramai ibu yang nak amalkan tips ni tapi tak ada masa! Jom, pergi ke website pasal pengurusan masa ibu bekerja yg super sibuk dan nak jadi supermommy. Alhamdulillah, dah beribu-ribu ibu bekerja yang transform dan boleh amalkan parenting dan didik anak2 setiap hari. www.efficient2me.com
    "

    ReplyDelete