Wednesday, 1 October 2014

Latih anak tadabbur alam

Teks: Asiah Budiman
Gambar: Koleksi sendiri dan Quran.com

Jika diperhati telatah anak sulung saya, dia lebih gemar berlari di padang yang kehijauan daripada berada di rumah bermain dengan mainannya. Tidak kira padang tersebut ada taman permainan atau tidak, itu tidak menjadi penghalang untuk dia terus berlari dan menghirup kesegaran udara.


Ini adalah kerana fitrah manusia yang sukakan keindahan alam dan ketenangan suasananya. Di dalam Al-Quran juga banyak digambarkan fenomena alam untuk menenangkan hati pembacanya. Visual yang cuba digambarkan dalam kitab Al-Furqan ini bukan sahaja mahu menerapkan unsur ketenangan tetapi untuk pembaca memikirkan tujuan alam ini diciptakan. Oleh itu, pembaca dapat melahirkan perasaan takjub dan takut kepada Tuhan pencipta alam. Inilah yang disarankan dalam Surah Ali-Imran ayat 191:

3:191







 "(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka"

Apa kata jika ingin mengatur aktiviti anak selepas ini, bawalah anak mengenali alam. Kenalkan dia kepada Pencipta alam ini. Ransang mindanya berfikir dan bertadabbur dengan apa yang ada disekelilingnya. Seperti yang diterangkan oleh Nouman Ali Khan, tadabbur itu seperti melihat sebuah bangunan. Jika hanya melihat sekali pandang itu bukan tadabbur, tetapi mestilah melihat dari pelbagai sudut sehingga ke belakang bangunan tersebut.

Contoh dalam gambar ini, saya bawa anak meziarahi salah satu universiti yang utama di Australia, University of Western Australia (UWA). Universiti ini mempunyai bangunan batu-bata yang unik. Selain itu, universiti dilengkapi dengan musolla atau surau buat pelajar muslim dan masyarakat muslim sekitarnya. Apa yang menarik di sini juga ada kolam air dan padang rumput yang menjadi habitat sekumpulan itik. Sempat saya bertanya kepada anak, "who makes the ducks, Anas". Anak saya akan jawab, "Ällah... ducks". Walaupun masih perlu melatih dia bertutur dalam ayat yang lengkap, tapi konsep tadabbur dan ketuhanan dapat diterapkan.


No comments:

Post a Comment